KeLAb ReMajA JIM

Thursday, January 19, 2006

Murid redah arus deras ke sekolah


Berita Harian
19 Januari 2006

PADAWAN (Kuching): Setiap pagi hari persekolahan, John Nigi, dari Kampung Giam, di sini akan membawa anaknya, Adeline, 11, ke tebing sungai untuk melihat arus Sungai Sarawak Kiri sebelum membenarkannya menyeberang menaiki perahu panjang ke Sekolah Rendah St Gregory yang terletak di seberang sungai.

Januari sehingga Mac, adalah tempoh menakutkan bagi John, 55, dan ibu bapa lebih 33 murid yang terpaksa membenarkan anak mereka menyeberangi sungai berarus deras ketika musim hujan seawal 6.45 pagi untuk ke sekolah. Mereka tiada pilihan selepas jambatan gantung yang menghubungkan kedua-dua kampung yang dipisahkan sungai ini runtuh dihanyutkan banjir lebih setahun lalu.

John berkata: “Kalau air besar dan arus terlalu kuat, kami tidak membenarkan mereka menyeberangi sungai kerana terlalu berbahaya, terutama balak hanyut dari hulu boleh menenggelamkan perahu.” Beliau yang bimbang kemungkinan arus bertambah kuat akibat hujan sepanjang malam semalam, bagaimanapun melepaskan anaknya ke sekolah selepas Guru Besar, Richard Niset berpuas hati dengan tahap keselamatan ketika menyeberangi sungai itu pagi semalam.

“Kami terpaksa melepaskan anak menyabung nyawa ke sekolah ketika arus kuat,” katanya kepada Berita Harian semalam.

Lebih 30 murid dari keseluruhan 61 murid berkenaan terpaksa menggunakan perahu panjang. Walaupun Jabatan Pelajaran Sarawak menyediakan jaket keselamatan, arus kuat terutama pada musim hujan boleh menyebabkan perahu hanyut dan tenggelam. Richard berkata, ibu bapa dan guru yang menyeberangi sungai untuk ke sekolah biasanya akan membuat pertimbangan terlebih dulu sebelum menyeberangi sungai, bergantung kepada air sungai.

“Sejak jambatan gantung terputus pada awal 2004, sudah lebih lima kali pelajar tidak ke sekolah kerana arus berbahaya.

“Pihak sekolah yang memberi perhatian kepada keselamatan murid dan guru akan mengawasi murid bagi memastikan mereka menggunakan jaket keselamatan,” katanya.

Seorang penduduk, Jacob Achoi, 30-an, berkata kerajaan menjanjikan jambatan gantung tetapi belum nampak tanda-tanda ia akan dibina.

“Penduduk kini sudah bosan dengan janji orang politik yang tidak ditunaikan,” katanya.