KeLAb ReMajA JIM

Wednesday, January 18, 2006

Pelajar cuba lari sekatan pengsan kena baling bangku


PELAJAR Tingkatan Empat, Muhammad Taufik Meh, 16,
terlantar di Hospital Tunku Fauziah, di Kangar, semalam,
sambil ditemani ibunya, Norhalita Abdullah, 40.

KANGAR: Seorang pelajar yang cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pengsan selepas terjatuh daripada motosikalnya dipercayai akibat dibaling dengan bangku oleh pegawai penguat kuasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi semalam di Kilometer 8, Jalan Kangar-Arau itu, Muhammad Taufik Meh, 16, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin, Jejawi, cedera di belakang kepala dan badan. Dia dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) oleh anggota penguat kuasa JPJ. Orang ramai kemudian membelasah dua anggota penguat kuasa JPJ. Kedua-duanya cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di HTF.

Ketika kejadian, 24 anggota penguat kuasa JPJ membuat tiga sekatan jalan di kawasan berkenaan dalam Operasi Pra Perayaan Tahun Baru Cina. Muhammad Taufik yang beruniform sekolah serta tidak memakai topi keledar dan dipercayai tidak mempunyai lesen memandu, dikatakan dalam perjalanan untuk mengambil ibunya, Norhalita Abdullah, 40, di rumah mereka di Kampung Belat Raja, Tambun Tulang, Arau.

Pelajar itu dalam proses bertukar ke Sekolah Menengah Syed Ahmad, Tambun Tulang memerlukan tandatangan ibunya pada borang bertukar sekolah. Ketika melalui tempat kejadian, Muhammad Taufik dikatakan terkejut melihat sekatan jalan raya JPJ itu dan cuba melarikan diri dengan memasuki jalan bertentangan. Difahamkan, Muhammad Taufik keluar tanpa kebenaran pihak sekolah dan topi keledar yang dipakainya untuk ke sekolah ditinggalkan dalam kelas.

Ketua Polis Kangar, Superintendan Yusof Mohd Diah, berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana bertindak sehingga membawa kecederaan kepada orang lain. Pengarah JPJ negeri, Zahari Awang Senik, pula enggan mengulas kerana kes itu dalam siasatan polis.

“Jika dakwaan itu betul, kita akan mengambil tindakan ke atas penguat kuasa terbabit,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Taufik yang ditemui di Wad Dua HTF berkata, dia melarikan diri ke jalan bertentangan kerana takut dan panik.