KeLAb ReMajA JIM

Friday, January 13, 2006

Penjenayah rekrut remaja, pelajar jadi anggota baru


Berita Harian
13 Januari 2006

Penjenayah rekrut remaja, pelajar jadi anggota baru
Oleh Osman Lisut

PETALING JAYA: Remaja dan pelajar dikenal pasti menjadi sasaran kumpulan penjenayah terancang di negara ini untuk merekrut mereka sebagai anggota baru, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Musa Hassan.

“Siasatan polis mendapati remaja sama ada masih menuntut atau lepasan sekolah kini menjadi sasaran, kerana mereka mudah dipengaruhi bagi melakukan jenayah tanpa disedari dan ini diambil kesempatan kumpulan penjenayah.

“Bermula dengan mengenal pasti mereka yang memiliki telefon bimbit, kumpulan itu beranggapan remaja terbabit datang daripada keluarga berada. Remaja itu kemudian diajak membabitkan diri dalam penagihan dadah, menganggotai kumpulan samseng atau diugut supaya membayar wang perlindungan.

“Selepas melakukan kesalahan itu, penjenayah menggunakannya untuk mengugut mereka menyertai kumpulan mereka itu. Jika enggan mereka ugut akan memberitahu keluarga atau melapor kepada polis. Remaja yang takut akan menyertai mereka,” katanya pada sidang media selepas melancarkan buku panduan Fight Crime di KBU International College di Bandar Utama, di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye; Ketua Polis Selangor, Datuk Yahaya Udin dan Ketua Eksekutif KBU, Datuk Teo Chiang Liang.

Musa berkata, walaupun pembabitan remaja dalam kumpulan jenayah terancang tidak membimbangkan, jika tidak dibanteras akan mendedahkan mereka melakukan jenayah lebih besar.

Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama MCPF dan KBU International College melancarkan kempen memerangi jenayah pada peringkat institusi pengajian tinggi.

Sebanyak 10,000 buku mengenai pencegahan jenayah dicetak MCPF dan KBU International College untuk diedarkan kepada orang ramai, sekolah dan pusat pengajian tinggi di sekitar Lembah Klang.

“Dengan pembabitan remaja dalam kempen seperti ini, ia dapat mendedahkan mereka apa yang harus dilakukan bila berdepan keadaan sebegini. Pada masa sama, ia dapat mengelakkan remaja daripada terjerumus dalam kegiatan jenayah yang nyata merugikan masa depan.

“Kempen ini turut membabitkan penyertaan masyarakat setempat untuk bertukar fikiran dan memberikan maklumat supaya polis dapat bertindak segera apabila sesuatu jenayah berlaku,” katanya.

Sebanyak 10,000 buku mengenai pencegahan jenayah dicetak MCPF dan KBU International College untuk diedarkan kepada orang ramai, sekolah dan pusat pengajian tinggi di sekitar Lembah Klang.