KeLAb ReMajA JIM

Monday, January 23, 2006

Seorang Remaja....

Tatarstan nobat Ratu Muslim


MOSCOW: Apabila disebut ratu cantik, pasti ramai terbayangkan liuk lentuk gadis berbaju mandi yang seksi, tetapi itu bukanlah ciri utama kemenangan ‘Miss Muslim’ atau Ratu Muslim di Tatarstan - sebuah negara di sebelah timur Eropah.

Sebaliknya, pertandingan ratu cantik itu menekankan kecerdikan, peri laku sopan, bertudung, pengetahuan agama Islam, kebolehan mengaji al-Quran, memasak dan menjahit di kalangan 56 peserta semuda 15 tahun yang menyaksikan Dilar Sadiqova (gambar), 17, muncul pemenang.

“Saya memutuskan menyertai pertandingan ini bagi menyampaikan pesanan wanita Islam juga mampu berdiri, biarpun di landasan pertandingan ratu cantik asalkan ia bermoral dan dihormati.

“Sehubungan itu, mereka yang bukan Islam boleh mendapat gambaran sebenar agama suci Islam ini,” kata pelajar sekolah menengah yang berhasrat menjadi guru, kepada media, selepas kemenangannya, kelmarin.

Lebih menarik, majlis itu diadakan di dewan khas Masjid Besar di Kazan, ibu negara Tatarstan dengan kesemua penontonnya adalah wanita.

Cendekiawan Muslim sebelum ini ada menggesa negara Islam menganjurkan pertandingan ‘Miss Morality’ bagi mematahkan minat umat Islam terhadap pertandingan ratu cantik ala Barat. Penganjur berkata, pertandingan itu tidak menetapkan pemakaian baju mandi seperti lazimnya, sebaliknya berpakaian sopan dan bertudung.

Malah, kecerdikan dan pengetahuan mendalam agama Islam adalah syarat utama pertandingan Ratu Cantik Muslim di Tatarstan yang mana 60 peratus daripada empat juta penduduknya, beragama Islam. Ini termasuk ujian hafalan dan mengaji ayat suci al-Quran selain menjawab soalan mengenai kebudayaan. Peserta turut menduduki ujian memasak dan menjahit bagi mendapatkan markah tambahan. Hanya lapan gadis berusia 15 hingga 19 tahun berjaya ke peringkat akhir dalam pertandingan sukar itu.

Ketua juri, Saida Abukofa berkata, pertandingan itu bertujuan menggalakkan lebih ramai gadis Muslim mengikuti ajaran sebenar Islam, termasuk mengenakan tudung. – Agensi