KeLAb ReMajA JIM

Wednesday, February 08, 2006

Berazamlah sempena tahun baru

KITA sudah memasuki tahun baru. Walaupun kini sudah bulan Februari, namun masih belum terlambat untuk kita memasang azam sempena tahun baru, lebih-lebih lagi masyarakat Cina dan mereka yang beragama Islam, masing-masing baru sahaja menyambut tahun baru hampir serentak pada 29, 30 dan 31 Januari yang lalu.

Masyarakat Cina tanpa mengira agama menyambut tahun baru mereka pada 29 dan 30 Januari, manakala penganut agama Islam tidak kira apa bangsa sekalipun di seluruh dunia pula menyambut tahun baru Hijrah yang ke-1427 pada 31 Januari, sementara masyarakat India akan menyambutnya pada bulan April nanti.

Sudahkah anda memasang azam untuk tahun ini?

Ada yang sudah, ada yang belum dan ada yang tidak mahu lagi berazam kerana kecewa azamnya selama ini tidak pernah tercapai.

Selain itu, ada juga yang berpegang kepada prinsip tidak perlu menunggu setiap awal tahun untuk berazam.

Ia boleh dilakukan bila-bila masa.

Azam, cita-cita atau visi penting untuk semua orang terutamanya kepada anda sebagai pelajar dan remaja.

Sebagai pelajar dan remaja, anda perlu menanam cita-cita dan merancang arah tuju hidup anda sendiri.

Jika tidak, anda hanya menerima apa sahaja yang diaturkan untuk anda walaupun tidak meminatinya dan jika ini berlaku, sebagai remaja, anda sebenarnya akan kehilangan satu nikmat hidup untuk merasai kegembiraan mencapai apa yang anda idam-idamkan.

Justeru, ketika waktu remaja, buka minda anda seluas-luasnya untuk merancang azam dan cita-cita dan menjadi apa yang anda idam-idamkan.

Berikut dikemukakan cara-cara yang boleh membantu anda membina azam dan cita-cita anda:

1. Tetapkan sasaran sebenar

Bagi remaja, memang agak sukar untuk membayangkan masa depan anda.
Walau bagaimanapun, ini tidak seharusnya menghalang anda untuk merancang masa depan.

Menurut pakar-pakar psikologi, anda boleh mulakannya dengan `berangan'. Tetapi ingat, jangan jadi seperti Mat Jenin, berangan kosong. Sebaliknya, angan-angan anda perlu `berisi' dan bermakna. Jadikan angan-angan anda sebagai sumber inspirasi yang boleh menggerakkan dan memajukan diri sendiri.

Pastinya ramai yang berangan-angan untuk menjadi salah seorang daripada angkasawan negara ataupun negarawan seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad. Sertakan angan-angan itu dengan usaha-usaha yang setimpal dengan angan-angan anda.

2. Fokuskan azam anda

Kadang kala ada antara kita yang mempunyai azam dan cita-cita yang terlalu luas dan abstrak sehinggakan tiada fokus dan tidak tahu di mana mahu bermula. Oleh itu penting untuk anda menjuruskan cita-cita dan azam anda. Ia lebih mudah daripada memikirkan secara umum. Contohnya cita-cita untuk menjadi tukang masak atau chef terkemuka, adalah terlalu umum. Anda perlu tahu terdapat pelbagai bidang masakan yang boleh anda ceburi seperti kek dan pastri, masakan barat, masakan timur, masakan antarabangsa dan sebagainya. Mana satu kegemaran anda sebenarnya. Tanya diri anda yang mana yang paling anda minat dan fokuskan cita-cita anda kepada yang satu itu.

Gunakan Internet untuk mencari maklumat lanjut mengenainya atau tanya orang yang berpengalaman mengenai bidang ini.

Bagaimana ibu bapa atau guru dapat membantu pelajar berazam?

  • Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mencari makna sebenar atau menghuraikan azam mereka supaya lebih fokus.
  • Pelajar perlu diingatkan bahawa apa yang dicita-citakan itu perlulah melibatkan diri mereka sendiri dan bukannya orang lain. Mereka sendiri perlu berusaha untuk mencapainya.
  • Untuk memberikan motivasi kepada pelajar supaya lebih yakin dengan azam dan cita-cita mereka, suruh mereka bayangkan diri mereka apabila apa yang dicita-citakan itu tercapai.
  • Biarkan mereka gambarkan perasaan dan juga keadaan mereka apabila cita-cita menjadi kenyataan.
  • Minta mereka tuliskan cita-cita mereka dan juga minta mereka jawab, apa yang paling membahagiakan mereka apabila cita-cita itu tercapai kelak.
  • Minta juga mereka teliti azam dan cita-cita dan lihat yang mana boleh dibuat penyesuaian. Mungkin cita-cita mereka terlalu ideal dan tidak realistik.
  • Sentiasa ingatkan mereka azam dan cita-cita yang tinggi juga memerlukan usaha dan komitmen yang tinggi.
  • Bincang dengan mereka mengenai kecerdasan pelbagai untuk memudahkan mereka mengenal pasti di mana kekuatan mereka dan adakah ia selari dengan apa yang diinginkan.

Anda boleh sentiasa merujuk Internet yang mempunyai pelbagai jenis ujian personaliti dan minat yang boleh memberi sedikit idea kepada mereka di mana sebenarnya minat dan kecenderungan mereka.