KeLAb ReMajA JIM

Tuesday, June 20, 2006

Masjid jangan pinggirkan remaja



Oleh ZUNAIDAH ZAINON

PADA zaman Rasulullah s.a.w., pemuda adalah pendokong kepada dakwah Islam. Mereka terdiri daripada pelbagai golongan. Antaranya, Saidina Ali bin Abi Talib, Muaz bin Jabal, Zaid bin Thabit, Mus'ab bin Umair dan Usamah bin Zaid. Keteguhan iman dan kekuatan takwa pendakwah muda sentiasa menggerakkan dakwah Rasulullah s.a.w. ke dalam masyarakat.

“Islam diperkuatkan dengan barisan pemuda yang berpotensi untuk memartabatkan agama. Islam akan menjadi lemah sekiranya orang muda kurang memberikan sumbangan untuk menegakkan syiar Islam. Pada ketika itu, masjid yang pertama kali didirikan di Madinah menjadi tempat syura bagi kelompok muda menjalankan aktiviti dakwah dan kemasyarakatan. Bahkan di situlah didirikan solat jemaah sebagai asas penting dalam menjalin ikatan ukhwah,” jelas Pengarah Penyelidikan Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. yang juga penceramah motivasi, Pahrol Mohd. Juoi.

Bagaimanapun, kata Pahrol, pada hari ini masjid semakin jauh terpisah daripada jiwa golongan muda yang dipengaruhi oleh beberapa faktor. Ada remaja sudah hilang kesedaran betapa perlunya Allah s.w.t. dalam kehidupan mereka dan lebih mengutamakan perkara lain dalam hidup.

“Jiwa yang kosong sebenarnya mudah terisi dengan bahan berbentuk hiburan dan keseronokan yang hanya bersifat sementara. Malah usia yang muda juga menyebabkan mereka gagal mengenal pasti antara hiburan dan perkara yang melalaikan. Ditegaskan, bahawa Islam tidak melarang hiburan tetapi bukanlah yang melalaikan dan mendorong kepada keburukan,” tambah Pahrol mengenai sikap remaja pada hari ini.

Beliau tidak menafikan remaja terkenal dengan kenakalan seperti suka membuat bising, bergurau dan ada yang sampai ke tahap merosakkan peralatan masjid. Bagaimanapun, untuk menangani kenakalan bukanlah dengan cara menghukum dan mengherdik seolah-olah mereka telah melakukan kesalahan yang cukup besar.

“Ini juga merupakan salah satu faktor mengapa remaja tidak suka ke masjid. Cuba kita contohi sikap Nabi Muhammad s.a.w. yang membiarkan cucunya memanjat Baginda semasa sedang solat dan sikapnya yang tidak memarahi tindakan orang Badwi membuang hadas kecil di dalam masjid. Malangnya, hari ini, pendekatan diplomasi agak kurang,” ujar beliau merujuk kepada sikap toleransi yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w..

Pendekatan

Untuk menarik kembali anak muda mendekati hakikat hidup, masjid memainkan peranan penting dengan menganjurkan program yang menepati cita rasa remaja. Dalam konteks ini, prinsip dakwah tidak berubah cuma pendekatan yang harus dipelbagaikan.

Aktiviti dakwah yang dianjurkan tidak boleh terlalu statik seperti mendengar ceramah sebaliknya perlu mengikuti kehendak mereka yang gemar kepada aktiviti mencabar, agresif dan bersifat interaktif. Contohnya, mengadakan pertandingan memasak bubur as syura, mencipta nasyid atau lagu dakwah, fotografi, mencipta laman web dan sebagainya.

Terdapat tiga prinsip dakwah iaitu menyampaikan mesej, pendakwah dan kumpulan sasaran. Kebanyakan masjid hanya mengadakan aktiviti yang sesuai untuk golongan berumur dan kurang menyentuh tentang keperluan remaja. Ini menyebabkan mereka semakin meminggirkan keperluan masjid dalam kehidupan berbanding perkara lain.

Walaupun anak-anak berusia tujuh tahun diajar bersolat, tidak semestinya mereka tidak boleh dibawa ke masjid sebelum usia tersebut. Mereka perlu diajar mengenal Allah s.w.t. dan atas sebab itu bayi yang baru lahir akan diazan dan diiqamatkan. Masjid adalah inkubator kepada anak-anak untuk menghidupkan pembinaan akhlak positif dalam diri mereka.

“Hari ini peranan masjid harus berubah daripada sebuah tempat yang sunyi kepada tempat yang lebih terbuka kepada golongan muda. Walaupun pentadbiran masjid diuruskan oleh orang yang sudah berumur, mereka harus memahami kehendak dan keperluan remaja dan bukannya terikat kepada aktiviti ceramah semata-mata. Aktiviti masjid mestilah mencerminkan kesyumulan ajaran Islam yang merupakan cara hidup itu,” tegas Pahrol.

Dalam pada itu, Masjid al-Falah, Subang Jaya adalah antara masjid yang aktif menganjurkan pelbagai aktiviti untuk remaja dan belia. Menurut Imam Tiganya, Mohd. Zuwairi Mohd. Yusof, setiap tahun mereka mengadakan program seperti kem ibadah, lawatan, kem hafalan dan sukan.

“Kami turut menjemput penceramah luar untuk kuliah remaja, antaranya ialah Ustaz Khairuzzaman Abdul Kadir dan Ustaz Rizal Ahmad. Kemudiannya, kami memulakan kem bimbingan tahfiz al-Quran sejak setahun lalu,” ujar Zuwairi yang bercadang menjadikan kem tersebut sebagai program tahunan masjid sempena cuti sekolah.

Baru-baru ini, perkhemahan ibadah diadakan pada 2 hingga 4 Jun di Impiana Country Resort, Hulu Langat. Selain itu, mereka juga berpeluang menyertai program lawatan ke rumah kebajikan, anak-anak cacat dan kawasan menarik di sekitar Selangor seperti Putrajaya. Malah setiap aktiviti dihebahkan melalui Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) oleh salah seorang urus setia program belia.

Paling istimewa, remaja bukan beragama Islam sekitar Subang Jaya juga mengambil peluang menyertai aktiviti street soccer yang diadakan di pekarangan masjid. Program ini adalah kerjasama Masjid al-Falah dengan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

“Kami menggalakkan mereka menyertai aktiviti luar sebagai satu pendedahan manakala kuliah remaja adalah pengisian jiwa untuk memantapkan ilmu agama. Alhamdulillah, dalam setiap aktiviti yang dianjurkan, sambutan amat menggalakkan. Ibu bapa juga menunjukkan komitmen yang baik dan turut serta bersama anak-anak mereka,” kata Zuwairi.

“Saya paling suka menyertai kem ibadah sebab ada aktiviti perkhemahan di hutan, jungle tracking, operasi burung hantu dan night walking. Setiap tahun masjid mengadakan banyak program untuk pelajar dan saya tidak pernah ketinggalan menyertainya.”

Muhd. Ameerul Junaidi, 9, Sekolah Integrasi Masjid al-Falah

“Baru-baru ini saya tinggal di masjid selama 14 hari untuk menyertai kem tahfiz al-Quran. Selain belajar hafalan, saya dapat meningkatkan ilmu pengetahuan. Aktiviti luar seperti kem di hutan memberi saya pengalaman hidup berdikari dan saling menolong antara satu sama lain.”

Farid Daniel Mohd. Azmi, 14, Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 13

Sepanjang terlibat sebagai fasilitator sejak tiga tahun lalu, masjid ini memang aktif menganjurkan aktiviti untuk pelajar sekolah dan remaja. Sikap ahli jawatankuasa masjid yang prihatin dan komitmen ibu bapa membuatkan setiap program mendapat sambutan menggalakkan.” Noor Karimah Harun, 21, penuntut Universiti Malaya

Sebenarnya, ada banyak perbezaan antara melibatkan diri dengan program masjid dan di luar terutama daripada aspek agama yang kurang diberi perhatian. Lagipun masjid ini menyediakan pelbagai kemudahan. Jadi, dalam setiap program, semua kebajikan kami memang terjaga.”

Nor Fadzrina Kamaruddin, 18, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia