KeLAb ReMajA JIM

Tuesday, September 05, 2006

REMAJA PELAPIS NEGARA

Assalamualaikum wbt. Tuan - tuan & puan - puan, para peminat Mutiara FM yang di muliakan. Saya baru sampai dari Nadwah Kepimpinan Islam Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan kali - 4 yang diadakan di pusat ko- kurikulum Jabatan Pelajaran negeri Johor di kem Tasek Utara yang di rasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendididkan Islam Dan Moral iaitu Tuan Hj Daniran bin Hj Mustapha. Nadwah ini menghimpunkan pelajar - pelajar islam yang boleh dianggapkan yang terbaik mewakili setiap negeri. Lantas ia merupakan perhimpunan yang menghimpunkan remaja - remaja daripada sekolah yang pada hari ini berada di tingkatan 4 dari seluruh negeri sekaligus diiringi oleh guru - guru dan pegawai - pegawai jabatan pelajaran di setiap negeri. Alhamdulillah.

Suatu yang menarik yang hendak saya kongsikan disini ialah ketika semua mereka berhimpun di Kem Tasek Utara dan remaja - remaja yang berjumlah 223 orang dan saya terus berkata bahawa kita baru menyambut Hari Kemerdekaan. Siapa diantara anda yang merasakan Malaysia adalah sebuah negara yang amat baik sekali. Saya mengatakan bahawa ini penilaian anda. Anda ada nilai dan tolong beritahu kami penilaian anda itu. Lebih kurang 5 orang yang mengangkat tangan. Siapa yang mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang amat teruk. Lebih kurang 10 orang yang mengangkat tangan. Siapa yang mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang baik tetapi ada banyak kepincangan. Lebih kurang 200 orang yang mengangkat tangan.

Begitulah penilaian mereka iaitu anak - anak kita dari kalangan bakal pemimpin negara kita yang beragama islam yang di himpunkan di Johor pada tahun ini dan diadakan program selama 3 hari. Syukur kepada Allah Dr Danial yang kerdil dan halus ini yang kadangkala lantang di radio di jemput oleh Kementrian untuk memberikan ceramah utama yang menentukan halatuju kem Nadwah peringkat kebangsaan di Johor pada tahun ini.

Saya merasakan bahawa remaja sememangnya pelapis negara. Jika kita benar - benar sayangkan negara, kita perlu fokuskan tentang anak - anak kita, tentang anak - anak bangsa, anak - anak Malaysia dan tentang remaja- remaja tidak kira kita sebagai guru di sekolah, sebagai ibubapa, sebagai Pegawai di jabatan belia, terlibat dengan media masa dan lain - lainnya, kita jangan lupa pelapis - pelapis dari kalangan anak - anak muda khususnya remaja ini perlu di sogok dengan nilai - nilai yang cukup hebat agar mereka menjadi pemimpin masa depan yang berkualiti, mempunyai jatidiri, misi dan visi yang baik agar insyaallah Malaysia ketika sampai ke tahun 2020 akan menjadi sebuah negara yang maju dan maju dalam erti kata yang sebenarnya tidak mengabaikan aspek - aspek spiritual berdasarkan agama yang suci lagi murni.

Inilah yang hendak kita fokuskan pada hari ini. Sebab itu saya teringat kepada kisah Ashabul Kahfi. Allah swt berkata, "Innahum fidyatun a manu birab bihim wazidna hum huda, Mereka merupakan anak- anak muda yang beriman dengan tuhan mereka dan tuhan tambahkan petunjuk kepada mereka". Ini model tentang anak - anak muda yang hendak kita didik. Kita hendak mendidik mereka agar beriman bukan jauh daripada iman. Kita hendak mendidik mereka agar beribadah bukan memakai subang dan lupa kepada ibadah. Kita hendak mendidik mereka agar bertakwa bukan makan sana makan sini dan lupa kepada takwa. Ini yang media masa perlu memberikan tumpuan. Inilah yang ibubapa perlu berikan fokus. Inilah yang sekolah - sekolah perlu juga memberikan tumpuan agar insyaallah pelapis - pelapis negara yang kita kasihi ini merupakan pelapis - pelapis yang bukan asyik terkinja - kinja di atas pentas, menari dan menyanyi tetapi mereka merupakan pelapis yang berilmu.

PM kita seringkali menyebutkan tentang insan kelas pertama tetapi yang kita buat hari ini di media masa di semua peringkat ini adakah betul akan melahirkan insan kelas pertama. Ini yang perlu kita fikirkan. Itu yang saya sebutkan di sana. Akhirnya selepas saya selesai memberikan pengisian selepas berinteraksi selama 4 jam dengan bakal pemimpin negara ini akhirnya saya telah di kerumuni oleh wakil - wakil jabatan setiap negeri untuk meminta pendapat. Saya memberi pendapat kerdil saya tentang bagaimana kita hendak merancang untuk anak - anak ini.

Tuan - tuan & puan - puan yang saya muliakan. Marilah sama - sama kita peka dengan pelapis - pelapis negara ini. Mari kita mendidik mereka agar menjadi orang yang berguna. Bukan hanya menjadi orang. Tidak cukup dengan menjadi orang tetapi menjadi orang yang berguna. Adakah kita sudah melangkah ke arah itu. Semoga jawapannya ialah IA. Itulah yang hendak saya sampaikan dengan doa bahawa pelapis - pelapis kita, remaja - remaja kita akan menjadi insan yang berilmu dan bertakwa kepada Allah swt.

Dari Dr Danial bin Zainal Abidin dalam ruangan Motivasi Mutiara pada 5 September 2006 hari Selasa di Mutiara FM 95.7 mhz